Kembara Ilmu : Perihal Solat Semasa Penerbangan
Oleh
Syahnazrin Hashim
Salah satu daripada nama-nama Allah Ta’ala yang agung ialah Al-‘Alim. Ianya membawa makna ‘Yang Maha Mengetahui’, ataupun boleh dimudahkan maknanya sebagai yang Maha Berilmu. Tiada siapa pun yang dapat menandingi ilmu Allah ‘Azza Wa Jalla.
Oleh kerana itu, sekiranya kita kembali menelusuri kitab-kitab sejarah para sahabat Radhiyallahu Ta’ala ‘Anhum Ajma’in, sudah pasti kita dapat melihat kesungguhan mereka dalam menuntut dan menyebarkan ilmu. Sudah pasti kita semua arif tentang kisah Salman Al-Farisi Radhiyallahu ‘Anh yang mengembara dari satu tempat ke satu tempat sehingga akhirnya beliau dipertemukan oleh Allah Ta’ala dengan Islam.
Tidak ketinggalan juga generasi sesudah mereka seperti Imamuna Muhammad bin Idris Asy-Syafi’e Rahimahullah (204 H) yang mengembara dan berpindah dari Makkah, Madinah, Yaman, Baghdad dan kemudian ke Mesir kerana ilmu, sehingga tercetusnya pendapat-pendapat baru beliau yang sebahagiannya berbeza dengan pandangan-pandangannya yang lampau. Kemudian diikuti dengan para Ulama’ Hadith seperti Al-Imam Al-Bukhari Rahimahullah (256 H) yang gurunya sahaja lebih kurang 4080 orang. Subhanallah!
Para Ulama’ terdahulu sangat hebat kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu. Justeru, salah satu sifat mereka yang mampu kita ikuti adalah dengan turut mengembara dalam menuntut ilmu.
Setakat ini, saya hanya berpengalaman untuk mengembara dari satu negeri ke negeri yang lain. Dari Johor, kemudian ke Pahang, seterusnya ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu dan sebagainya. Masih belum puas melakukan pengembaraan ilmu di tanah air, saya mencuri peluang untuk mengembara demi ilmu dan pengalaman di tanah orang pula.
Negara yang menjadi pilihan saya ialah Jordan yang letaknya di Tanah Syam. Saya dan teman-teman akan bersama-sama terbang lebih 40 000 kaki dari darat, dengan menaiki kapal terbang Qatar Airways, pada 23 September, jam 3.35 pagi nanti. Insya Allah.
MUSAFIR DAN KEMUDAHAN BERIBADAH
Sebagai seorang yang lahir dan menetap di Malaysia, sudah tentu Jordan bukanlah tempat saya bermastautin. Jadi, saya akan ke sana sebagai seorang musafir.
Islam merupakan satu-satunya agama yang bersifat mudah dan tidak menyusahkan. Ianya merangkumi bagi kanak-kanak kecil mahupun orang dewasa, orang Melayu mahupun orang India, dan termasuklah yang menetap mahupun, apatah lagi yang sedang bermusafir. Sabda Nabi Sallallahu ‘Alayhi Wasallam :
إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ
Maksudnya: “Agama itu sangat ringan dan siapa pun yang membebani keberagamaannya secara berlebihan, tidak akan sanggup menanggungnya. Jadi, engkau tidak perlu berlebihan, tetapi berusahalah untuk mendekati (kesempurnaan), dan terimalah khabar gembira (bahawa engkau akan diberi ganjaran), dan solatlah di pagi hari, siang dan di penghujung malam.”[Hadith Riwayat Al-Bukhari, no. 37]
يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا
Maksudnya: “Permudahkanlah dan janganlah membuat mereka merasa susah, dan berilah khabar gembira dan janganlah membuatkan mereka melarikan diri (dari Islam).”[Muttafaq ‘Alayh]
Antara peruntukan yang telah Allah ‘Azza Wa Jalla berikan kepada umat Nabi Muhammad ialah kemudahan Jama’ dan Qasar. Namun, saya tidak akan menghuraikan persoalan Jama’ dan Qasar dalam artikel kali ini.
Cuma, secara ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa sebab diJAMA’kan atau dihimpunkan antara dua solat adalah kerana berlakunya kesusahan keperluan yang mendesak, manakala sebab diQASARkan atau dipendekkan solat menjadi dua rakaat adalah kerana tujuan musafir.
Jadi, bagi seseorang yang bermusafir, Allah Ta’ala telah berikan sedeqah kepada mereka. Ketika ditanya oleh Sayyidina ‘Umar Al-Khatthab tentang ayat 101 dalam Surah An-Nisa’ (tentang Qasar), Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi Wasallam menjawab:
صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ
Maksudnya: “(Yang demikian itu adalah) sedeqah yang diberikan oleh Allah kepada kalian, maka terimalah sedeqah-Nya.”[Hadith Riwayat Muslim, no. 686]
KERINGANAN DALAM BERWUDHU’
Bagi sesiapa yang pernah menaiki kapal terbang, pasti mereka mengetahui akan kesukaran untuk mengambil wudhu’ ketika berada di dalam kapal terbang tersebut. Mungkin kesukaran itu disebabkan oleh sinkinya yang kecil, dan begitulah juga saiz tandasnya yang agak sempit.
Bagi yang berbadan kurus, mungkin tiada masalah untuk mengangkat kaki lalu membasuhnya di dalam sinki, namun, bagi mereka yang bersaiz agak besar, ianya merupakan salah satu azab daripada azab dunia. Silap-silap boleh roboh tandas tersebut.
Menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, jika terlalu banyak air yang tumpah ke lantai, ianya akan membahayakan penerbangan.
Justeru itu, terdapat beberapa alternatif yang telah Islam sediakan bagi umatnya yang memerlukan sedikit keringan dalam keadaan sedemikian. Selagi wujudnya air (selain dari air minuman), maka sudah tentu seseorang itu perlu berwudhu’, sekiranya mampu.
Bagi mengurangkan kesukaran ketika membasuh kaki, kita dibenarkan untuk menyapu khuf, yakni sejenis stokin yang seperti kasut, yang diperbuat daripada kulit, dan juga menutupi kaki termasuk buku lali. Kebanyakan kita mungkin sudah maklum tentang keringanan untuk menyapu khuf. Cumanya, ianya agak sukar untuk didapatkan di negara kita. Jadi, masing-masing masih belum berpeluang untuk mengamalkan sunnah yang sahih, yakni menyapu khuf ketika berwudhu’.
Selain daripada menyapu khuf, Nabi Sallallahu ‘Alayhi Wasallam juga pernah menyapu kedua stokinnya ketika berwudhu’. Al-Mughirah bin Syu’bah Radhiyallahu ‘Anh menceritakan :
أن رسول الله صلّى الله عليه وسلم توضأ، ومسح على الجوربين والنعلين
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi Wasallam berwudhu’ dan (Baginda) menyapu di atas dua stokin dan dua kasut (Baginda).”[Hadith Riwayat At-Tirmizi, dihukum sebagai Hasan Sahih oleh beliau]
Antara ulama’ semasa yang cenderung kepada pandangan di atas ialah Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan beberapa lagi. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan dalam Fatawa Mu’asarahnya:
يجوز المسح على الجوربين إذا لبسهما على طهارة، فإذا انتقض وضوؤه وهو لابس الجوربين، وأراد أن يتوضأ، عندئذ يصح له أن يمسح عليهما، ويكفيه هذا لمدة أربع وعشرين ساعة إذا كان مقيما، وإذا كان مسافرا فلمدة ثلاثة أيام. وهذا أمر يسهل على الناس الوضوء خاصة في أيام الشتاء الباردة، حيث يشتد البرد ويخشى المرء أن يخلع جوربيه ويغسل رجليه بالماء البارد… والإسلام كما هو معلوم دين يسر لا عسر. وقد جاء هذا عن أكثر من عشرة من الصحابة، أفتوا جميعهم بجواز المسح على الجوربين. وبعض الفقهاء اشترطوا لذلك شروطا مشددة، مثل: أن ستطيع المشي بهما، وألا يكون بهما خرق بمقدار ثلاثة أصابع، وغير ذلك، وهذه الشروط -في الحقيقة- لم ترد في السنة المطهرة، والأمر كله مبني على التيسير، فإذا كان الصحابة قد أفتوا بهذا، فيجوز للمسلم أن يتبع هذه الرخصة…
Maksudnya: “Harus menyapu atas dua stokin jika seseorang memakainya dalam keadaan suci (yakni telah mengambil wudhu’ terlebih dahulu sebelum memakainya). Apabila wudhuknya terbatal selepas itu dan ia ingin mengambil wudhuk semula, harus ketika itu untuk ia menyapu atas dua stokinnya (yakni sebagai ganti membasuh kaki). Jika ia muqim (yakni berada dalam negeri, tidak musafir) keharusan itu untuk tempoh 24 jam sahaja (yakni sehari semalam). Adapun jika ia musafir, keharusan itu untuk tempoh tiga hari tiga malam. Keharusan ini memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengambil wudhuk terutamanya ketika musim sejuk di mana sejuknya bersangatan dan sukar bagi seseorang untuk menanggalkan stokinnya dan untuk membasuh kaki dengan air yang sejuk. Islam sebagaimana sedia dimaklumi merupakan agama yang mudah dan tidak memayahkan. Keharusan tersebut telah dinaqalkan dari lebih sepuluh orang sahabat di mana mereka semuanya memberi fatwa harus menyapu atas dua stokin. Sebahagian fuqaha’ (ahli-ahli Fiqh) telah meletakkan untuk keharusan itu beberapa syarat yang diberat-beratkan seperti; hendaklah jaurab (stokin) itu tahan dibawa berjalan, tidak ada koyakan padanya yang melebihi luas tiga jari dan sebagainya. Syarat-syarat ini sebenarnya tidak ada di dalam sunnah (yakni tidak pernah disebut oleh Nabi s.a.w. di dalam hadisnya). Segalanya terbina atas asas untuk memberi kemudahan (kepada manusia). Maka apabila ada para sahabat yang telah memberi fatwa keharusan tersebut, haruslah bagi seorang muslim untuk mengambil rukhsah (kelonggaran) itu…”[Min Hady al-Islam (Fatawa Mu’asarah), Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 1, hlm. 215]
Perlu juga diambil peduli bahawa menyapu khuf atau stokin (sama ada tebal atau nipis-kerana keumuman lafaz jawrab, menurut sebahagian para sahabat seperti Umar Al-Khatthab) itu tidak bermaksud membasuh. Stokin yang basah, akan menyebabkan lahirnya aroma yang mengganggu orang lain. Apatah lagi sekiranya stokin itu belum pernah dibasuh. Ianya hanya dengan membasahkan tangan sedikit dan kemudiannya menyapu hanya di atas kaki, bukan di bawah, mahupun keseluruhan. Sebagaimana yang kata Sayyidina Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘Anh:
لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْىِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلاَهُ ، وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ
Maksudnya: “Jika sekiranya agama ini adalah berdasarkan pandangan (akal semata-mata), nescaya menyapu bahagian bawah khuf adalah lebih logik daripada menyapu bahagian atasnya, namun aku telah melihat bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi Wasallam menyapu di bahagian atas khuf Baginda.”[Riwayat Abu Daud, Ad-Daaruquthni, Al-Bayhaqi dan Ibn Hazm. Az-Zahabi mengatakan bahawa sanadnya adalah Sahih]
Menyapu khuf atau stokin, cukup hanya dengan sekali sapuan. Tidak disunatkan untuk menyapu lebih daripada itu. Bahkan ada beberapa Ulama’ Syafi’iyyah yang menghukumnya sebagai makruh.
Bagi Dr. Wahbah al-Zuhayli, seorang ulama bermazhab Syafi’i kontemporari, dalam kitabnya yang terkenal, Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh juga telah memilih pendapat yang mengharuskan menyapu ke atas stokin sebagai pendapat yang paling kuat berbanding dengan pendapat yang melarang. Pendapat ini jugalah yang lebih memudahkan umat Islam pada hari ini yang bermusafir di dalam kapal terbang dan juga mana-mana jenis musafir yang penuh dengan kesulitan untuk berwudhu dengan cara yang sempurna. Walau bagaimanapun perlu diingat, untuk menyapu ke atas stokin seseorang perlu mengikuti segala syarat berkaitan dengan menyapu khuf. Ini kerana kedua-dua hukum tersebut (menyapu khuf dan stokin) adalah satu hukum yang sama.
Sebagai kesimpulan awal, terpulang kepada anda untuk memilih sama ada untuk membasuh kaki ataupun sekadar menyapu sedikit basahan di atas stokin. Apa yang penting ialah anda perlu berwudhu’ sebelum memakai khuf ataupun stokin. Ianya juga merupakan antara syarat sah sebelum memakai khuf mahupun stokin.
KAEDAH SOLAT DI DALAM KAPAL TERBANG DAN PENENTUAN WAKTU SOLAT
Antara syarat sah solat ialah Dukhul Al-Waqt As-Solah, yakni telah masuknya waktu solat. Kebanyakan antara kita mungkin belum jelas bagaimanakah caranya untuk menentukan masuknya waktu solat di dalam kapal terbang. (terkecuali bagi pesawat yang telah menyediakan waktu solat pada skrin televisyen.)
Oleh kerana artikel ini saya tulis bertujuan untuk dijadikan panduan bagi para pelajar yang akan terbang ke Jordan bersama-sama, jadi saya sesuaikan penerangan ini berdasarkan jadual penerbangan kami.
Jadual Anggaran Perbandingan Waktu
Sebagaimana yang tercatat di tiket, kapal terbang akan berlepas ke Doha International Airport, Qatar tepat pada pukul 3.35 pagi, di KLIA. Jadi, ini bermaksud penerbangan akan berlaku sebelum masuknya waktu subuh di Kuala Lumpur.
Penerbangan ke Doha mengambil masa lebih kurang 7 jam 30 minit. Melalui sedikit pemerhatian yang dilakukan, didapati waktu yang paling sesuai untuk saya dan rakan-rakan menunaikan solat Subuh adalah 4 jam setelah berlepas dari KLIA, iaitu pada pukul 7.35 pagi, waktu Malaysia. Ketika itu kapal terbang dijangka sedang melintasi kawasan benua India. Sekiranya anda duduk di tepi tingkap, anda akan dapat melihat garisan halus berwarna putih, sebagaimana firman Allah Ta’ala:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Maksudnya: “Dan makan dan minumlah sehingga jelas bagimu (perbezaan) antara benang putih dan benang hitam, iaitu fajar.”[Surah Al-Baqarah: 187]
Waktu India ketika itu adalah pada pukul 5.05 pagi. Bagi mengelakkan kekeliruan terhadap perubahan jam antara negara, adalah lebih elok sekiranya jam tangan anda di‘set’kan mengikut waktu Malaysia sahaja.
Bagi sahabat-sahabat yang ingin melakukan Qiyamullayl, anda boleh melakukannya sejurus masuk ke dalam kapal terbang. Solat sunat boleh dilakukan dalam keadaan duduk, walaupun tanpa sebarang keperluan. Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi Wasallam tidak pernah meninggalkan Qiyamullayl seumur hidup, hatta dalam keadaan musafir dan uzur sekalipun. Ini juga adalah nasihat untuk diri saya sendiri.
Setelah itu, kapal terbang dijangka akan mendarat di Doha pada pukul 6 pagi waktu Doha. Alasan mengapa kita tidak solat Subuh disana kerana, waktu Subuh di sana telah pun tamat lebih kurang pada pukul 5.25 pagi.
Kemudian, pesawat akan transit di Doha sekitar 7 jam 5 minit. Ini bermakna, kita akan berlepas semula ke Amman pada pukul 1.05 tengahari waktu Doha, yakni 6.05 petang waktu Malaysia. Sebelum berlepas, saya dan teman-teman perlu menunaikan solat Zohor dan Asar secara Jama’ Taqdim dan Qasar di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha. Masuknya waktu Zohor di Doha adalah pada pukul 11.30 pagi, bersamaan dengan 4.30 petang waktu Malaysia.
Kapal terbang seterusnya akan mendarat di Queen Alia International Airport, Amman, pada pukul 3.50 petang, waktu Amman, bersamaan pukul 8.50 malam waktu Malaysia. Jadi, penerbangan dari Doha ke Amman hanya mengambil masa 2 jam 45 minit. Insya Allah, kita akan tiba di Irbid sebelum atau pada waktu Maghrib.
Harapan saya agar kita semua (terutamanya saya) tidak sia-siakan waktu dengan tidur yang panjang ataupun jakun dengan skrin kecil di tempat duduk masing-masing, mahupun cerita yang ditayangkan di televisyen besar. Manfaatkanlah masa yang ada dengan perkara berfaedah seperti membaca Al-Qur’an dengan suara perlahan agar tidak mengganggu orang lain, membaca buku, mendengar bacaan Al-Qur’an, ceramah agama dan sebagainya melalui telefon bimbit masing-masing yang serba canggih itu.
Poin yang kedua, Istiqbaal Al-Qiblah (menghadap kiblat) juga merupakan syarat sah bagi solat. Bagi penumpang kapal terbang, anda perlu berusaha sedaya upaya untuk mencari arah kiblat.
Setahu saya, kebanyakan pesawat akan menunjukkan peta pada skrin tv yang dipancarkan didepan kita semua. Jadi, jika tidak dapat dipastikan kedudukan Ka’bah secara tepat, maka cukuplah sekadar menghadap ke arah Makkah, yang terletak di sebelah Barat Arab Saudi. Jika kedudukan Makkah juga tidak dapat dipastikan, anda boleh menganggarkan kedudukannya dengan memerhatikan kedudukan bandar Jeddah, yang terletak di sebelah kanan Makkah. Kemungkinan besar, kita tidak berapa sukar untuk mencari arah kiblat kerana arah Makkah dan Doha dari Malaysia tidak begitu jauh. Sama ada menghadap ke hadapan, atau ke kiri sedikit.
Dalam keadaan kapal terbang yang sering bertukar arah, maka anda hanya perlu menghadap kiblat hanya pada waktu mengangkat takbiratul ihram. Anda tidak perlu membatalkan solat sekiranya kapal terbang telah mengubah arah kapal terbang sewaktu anda sedang solat.
Bagi solat fardu, sebolehnya dituntut untuk mendirikan solat secara berdiri. Sekiranya anda benar-benar tidak mampu untuk berdiri, mungkin kerana pesawat sedang bergoyang dan sebagainya, anda dibenarkan untuk solat duduk dengan sekadarnya. Jika pesawat sudah tidak bergoyang, anda perlu teruskan solat secara berdiri, kerana ia adalah merupakan satu tuntutan bagi orang yang mampu berdiri. Ketika ditanya berkenaan kaedah solat di dalam perahu, Nabi Sallallahu ‘Alayhi Wasallam bersabda:
صل فيها قائما إلا أن تخاف الغرق
Maksudnya: “Solatlah di dalamnya secara berdiri, melainkan sekiranya engkau takut tenggelam.”[Hadith Riwayat Al-Bazzar, Ad-Daaruquthni, Al-Hakim mensahihkannya dan dipersetujui oleh Az-Zahabi]
Walau bagaimanapun, mungkin di antara kalian runsing berkenaan di kawasan manakah yang sesuai untuk melakukan solat secara berdiri itu. Terdapat beberapa kawasan yang sedikit luas yang sesuai untuk dilakukan solat, secara sendiri mahupun berjemaah. Solatlah secara berjemaah walaupun dalam ruang yang sempit.
Antara kawasan yang sesuai adalah di kawasan kabin di bahagian belakang pesawat, mahupun di tepi pintu pesawat. Pastikan anda tidak mengganggu tugas para pramugara dan pramugari yang sedang bertugas. Jika perlu, minta izin mereka dengan penuh akhlak, untuk menggunakan ruang tersebut untuk tujuan solat. Untuk lebih meyakinkan, eloklah sekiranya anda menggunakan selimut yang dipinjamkan nanti untuk dihamparkan sebagai sejadah sewaktu solat nanti.
SOLAT HORMAT WAKTU DAN SOLAT QADHA’?
Bagi sesiapa yang pernah mengikuti kursus-kursus Umrah dan Haji, anda pasti pernah mendengar tentang galakan untuk menunaikan solat hormat waktu. Malangnya, kebanyakan jemaah umrah dan haji yang baru pulang dari melaksanakan ibadah suci itu hanya menghormati waktu tidur, dengan tidak solat langsung atas alasan boleh diqadha’kan setelah sampai di
Memberikan alternatif mengqadha solat dengan sewenang-wenangnya adalah satu ajaran yang bercanggah dengan syari'at dan akhirnya hanya akan menjemput kepada perbuatan meremeh-remehkan agama itu sendiri apatah lagi ibadah solat yang merupakan tiang utama agama Islam.
Kebolehan mengqadha’kan solat hanya terhad bagi orang yang tertidur, terlupa, tersilap kira waktu solat, pitam dan pengsan, dan juga bagi seseorang yang dalam keadaan darurat sehingga tamat waktu solat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari bahawa Nabi dan para Sahabat sewaktu perang Khandaq, yang terpaksa mengqadha’kan solat Asar kerana berperang sehingga masuknya waktu Maghrib.
Manakala, seperkara lain yang perlu disentuh juga adalah berkenaan dengan pendapat yang mengatakan perlu ditunaikan solat hormat waktu. Solat hormat waktu ini bermaksud seseorang itu perlu menunaikan solat secara ala-kadar tanpa wudhu’, bertujuan untuk menghormati masuknya waktu solat. Kemudian, setelah sampai di tempat yang dituju, orang itu akan mengulangi solatnya semula. Tanpa solat ala-kadar yang pertama itu, solat kedua itu tidak sah.
Pada hakikatnya, solat hormat waktu ini tidak mempunyai dalil yang sabit daripada Nabi Sallallahu ‘Alayhi Wasallam, mahupun para Sahabah Ridhwanullahu Ta’ala ‘Anhum Ajma’in.
Seandainya solat hormati waktu itu wujud, sudah tentu baginda Nabi Sallallahu ‘Alayhi Wasallam akan mengajarnya kepada para sahabat Radhiyallahu ‘Anhum di ketika menghadapi suasana kegentingan peperangan, tetapi yang jelas mereka semua tetap mendirikan solat fardu selengkap mungkin tanpa mengqadha’nya di lain masa.
Apakah bandingannya solat berhadapan dengan senjata musuh dengan solat di dalam kenderaan yang serba selesa lagi berhawa dingin? Sudah tentu tiada bandingan dan sudah tentu tiada alasan untuk kita mengamalkan teori solat hormati waktu dan mengqadhanya pula di lain masa.
Solat-solat yang ditunaikan sewaktu dalam penerbangan itu adalah sah, sekiranya ia telah dilaksanakan setakat kemampuan kita ketika itu. Maka, ianya tidak perlu diulang atau diqadha’kan setelah sampai ke destinasi yang dituju. Pendapat ini juga disokong oleh Ulama’ Syafi’iyyah seperti Al-Imam Al-Muzani, anak murid besar Al-Imam Asy-Syafi’e, dan juga Al-Imam An-Nawawi Rahimahumullah.
Menurut beliau, pandangan tersebut adalah yang paling kuat kerana ianya bersesuai dengan firman Allah dan sabda Nabi ‘Alayhi as-Solatu was-Salam:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْMaksudnya: “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.”[Surah At-Taghabun: 16]
فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْMaksudnya: “Apabila aku perintahkan ke atas kamu sesuatu urusan, maka datangilah (lakukanlah) ia mengikut apa yang kamu mampu…”[Hadith Riwayat Muslim]
Oleh yang demikian itu, Al-Imam Al-Muzani Rahimahullah berpandangan:
كل صلاة وجبت في الوقت على نوع من الخلل لا تجب اعادتها
Maksudnya: “setiap solat yang wajib dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun dilaksanakan dengan terdapat suatu kekurangan, tidak wajib diulangi semula.”[Syarh Sahih Muslim, Kitab Al-Haydh, Bab At-Tayammum]
Jadi berdasarkan pandangan Al-Imam al-Muzani di atas, tidak ada yang dikatakan solat hormat waktu (yakni solat yang dilakukan semata-mata untuk menghormati waktu solat, bukan untuk menggugurkan tuntutan solat) kerana solat yang dilakukan dengan rukhsah itu telahpun sah dan dikira oleh Syarak kerana ia dilakukan mengikut kadar kemampuan yang ada.
Akhir kata, tetapkanlah keazaman dan kesungguhan diri untuk tetap melaksanakan solat fardhu sesempurna mungkin tidak kira apa jua kesukaran yang ditempuhi dan janganlah difikir-fikirkan teori solat hormati waktu itu atau apa jua yang seumpama.
Allahu Ta’ala A’lam.
Rujukan.
3. Riyadh As-Solihin, Yahya ibn Syaraf An-Nawawi, Tahqiq oleh Al-Albani.
6. Tuhfah Al-Ikhwan, Abd Al-‘Aziz bin Baz dan Muhammad bin Solih Al-‘Uthaimeen.
7. Fatawa Mu’asarah, Yusuf Al-Qaradhawi.
10. Fikah Luar Negara, Maszlee Malik.
13. Google Maps.
15. E-Solat Jakim.


3 IDEA:
Salam..
Satu kupasan yang sangat bermanfaat...
Salam Aidil fitri..
kullu 'aam Wa enta bil Alf Khair
Assalamu'alaikum.
Taqabbalallahu minna wa minkum saliha l-a'mal.
"..seeloknya (stokin atau khuf) dipakai dalam keadaan berwudhu'. Itu yang lebih mendekati sunnah."
tambah sikit, itulah syarat sah sapu atas stokin/khuf berdasarkan nas. Bukan hanya sekadar lebih mendekati sunnah..
Jazakumullahu khair.
Afwan assalamu'alaikum warahmatullah.
IsmiIzzah,
Wa 'alaykumussalam Warahmatullah.
'Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minki.
Jazakillah. Harap dapat amalkan bersama.
Abu Abdillah,
Wa 'alaykumussalam Warahmatullah.
'Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minka.
Jazakallah atas tambahan, Syeikh.
Ana dah edit ayat ana.
Post a Comment