16 January 2010

Zakat : Antara Duniawi dan Ukhrawi


Zakat menduduki posisi yang amat tinggi dalam Islam. Ianya bukan hanya sekadar menduduki tempat ketiga dalam Rukun Islam, bahkan kewajipan zakat itu sendiri merupakan perkara Ma’lum Min ad-Din Bi ad-Dhorurah, yakni perkara agama yang sememangnya wajib diketahui oleh setiap insan Muslim.
 
Dalam Al-Qur’an, Allah Ta’ala telah menyebut perkataan Zakat tidak kurang daripada 27 ayat. Hampir keseluruhan ayat itu digandingkan dengan ibadah Solat. Di samping itu, penunaian Zakat dan Solat mempunyai hubungan tersendiri sehinggakan Allah Ta’ala mengkategorikan sebagai syarat untuk seseorang itu dipanggil saudara seIslam.




Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Jika mereka bertaubat, mendirikan salat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama.[Surah At-Tawbah: 11]
 
Dengan demikian itu, orang yang mengabaikan kewajipan Zakat, sesungguhnya telah melakukan kemaksiatan yang besar kepada Allah Ta’ala. Kerana itulah, ketika zaman pemerintahan Khalifah Islam yang pertama, Abu Bakr As-Siddiq Radhiyallahu ‘Anh, terdapatnya sebahagian golongan Muslim yang rajin menunaikan solat, namun bersikap enggan untuk membayar Zakat. Maka, Saidina Abu Bakr As-Siddiq Radhiyallahu ‘Anh pun mengatakan dengan penuh keberanian, yang bermaksud: “Demi Allah, pasti akan aku perangi sesiapa pun yang memisahkan antara Solat dan Zakat![Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]
 
Justeru itu, Islam tidak sekadar memberitahu tentang azab dan seksaan yang pedih bagi sesiapa yang menolak untuk berzakat, namun Islam turut mengumumkan tentang ganjaran dan pahala yang sangat besar bagi mereka yang berzakat. Bahkan lebih daripada itu, berbagai keistimewaan yang dijanjikan termasuklah jaminan dilimpahkan keberkatan serta dilipatgandakan aset bagi orang yang berzakat.
 
TAKRIFAN ZAKAT
 
Secara istilahnya, kalimah Zakat itu sendiri membawa maksud “Satu kata nama yang jelas bagi (perbuatan) pengambilan sesuatu barang tertentu daripada harta tertentu dengan ciri-ciri tertentu untuk golongan tertentu.[Al-Mawardi, Al-Hawi Fi Fiqh Asy-Syafi’e]
 
Kalimah Zakat juga mempunyai beberapa nama lain. Antaranya ialah Sadaqah, Infaq dan Nafaqah.
 
Menurut Imam Ibnul Qayyim Rahimahullah, sebagaimana yang dinukilkan oleh Shaykh Sayyid Sabiq Rahimahullah dalam Fiqh As-Sunnah, bahawa Ibadat itu terbahagi kepada Ibadah Badaniyyah (kemampuan badan) dan Ibadah Maliyyah (kemampuan harta). Antara Ibadah Badaniyyah ialah Solat, manakala Ibadah Maliyyah ialah Zakat, disamping Ibadah Haji yang  merupakan Ibadah Badaniyyah Maliyyah. Di sini jelas bahawa Zakat itu sendiri berbeza dengan Ibadah khusus yang lain kerana ianya bukan sekadar merealisasikan hubungan dengan Allah, bahkan ianya turut bersangkutan dengan hubungan antara sesama manusia.
 
ZAKAT: KESAN TERHADAP EKONOMI
 
Setiap ibadah khusus yang telah disyari’atkan ke atas umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alayhi Wasallam pasti mengandungi hikmah pensyariatannya. Hikmah itu baik ianya terzahir, mahupun disembunyikan oleh Sang Pensyariat, yakni Allah ‘Azza Wa Jall. Kewajipan Zakat itu sendiri memiliki kesan yang sangat besar, merangkumi keseluruhan individu dalam masyarakat Bumi ini.
 
Antara lain, Zakat itu merupakan manifestasi akan wujudnya iman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, disamping mensyukuri nikmat-Nya, menumbuhkan akhlak mulia dengan memiliki rasa kepedulian yang tinggi, dan seterusnya menghilangkan sifat kikir dan rakus, menumbuhkan ketenangan hidup, sekaligus mengembangkan dan mensucikan harta yang dimiliki.
 
Demikian pula kesan Zakat menurut perspektif Ekonomi. Zakat juga berperanan untuk menolong, membantu dan membina kaum Dhu’afa’, yakni orang-orang yang lemah (secara ekonomi) mahupun orang yang berhak mendapat Zakat (Mustahiq) ke arah kehidupan yang lebih baik dan lebih sejahtera, sehingga mereka dapat memenuhi keperluaan hidupnya dengan sempurna, dan seterusnya dapat beribadah  kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala tanpa terhindar daripada bahaya kekufuran dan kesyirikan.
 
Tambahan, dengan berzakat, seseorang itu dapat menyumbang untuk peningkatan sumber dana bagi pembangunan sarana mahupun prasarana yang diperlukan oleh umat Islam, seperti sarana ibadah, pendidikan, kesehatan, sosial dan ekonomi, sekaligus sarana untuk peningkatan kualiti sumber tenaga manusia Muslim.
 
Seterusnya, mekanisma Zakat itu berfungsi untuk mewujudkan keseimbangan dalam kepemilikan dan pengagihan harta, sehingga diharapkan akan lahir masyarakat penyayang di atas prinsip ukhuwwah Islamiyyah dan takaful ijtima’i, lalu seterusnya menyebarkan dan memasyarakatkan etika bisnes yang baik dan benar.
 
CONTOH KEBERKESANAN ZAKAT
 
Fakta sejarah telah membuktikan bahawa pada zaman pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin sehinggalah zaman Umayyah dan Abbasiah, Ekonomi umat Islam berada pada tahap yang cemerlang  apabila potensi Zakat digali secara optimal. Sebagai contoh, pada zaman Umar bin Abdul Aziz Radhiyallahu ‘Anh dalam tempoh 30 bulan, tidak ditemukan lagi masyarakat miskin, kerana semua orang yang mampu telah mengeluarkan zakat. Pengagihan zakat juga tidak terbatas sekadar mencukupkan keperluan seharian bagi orang yang memerlukan, tetapi ianya juga bersifat produktif bagi jangka masa yang panjang. Kenyataan itu harus kita wujudkan pada era ini agar kemiskinan yang menjadi musuh kita ini dapat diatasi.
 
Telah dikatakan bahawa Saidina Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘Anh pernah berkata, “Seandainya kemiskinan itu adalah seorang manusia, nescaya aku akan bunuhnya!”. Makna ucapan Khalifah keempat tersebut ialah bahawa beliau mendeklarasikan secara tegas “perang terhadap kemiskinan”.
 
Bertepatan dengan krisis ekonomi yang masih berlangsung sekarang ini, masalah kemiskinan sedang menjadi isu penting. Hal ini kerana jumlah rakyat miskin membengkak dan berkembang secara luar biasa. Oleh sebab itu, Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui, telah menyediakan sebuah ajaran yang komprehensif dan menyeluruh yang bukan sekadar bertujuan untuk mencapai kebahagiaan hidup di Akhirat, bahkan Syariat Allah itu sendiri turut berperanan untuk tujuan Duniawi, termasuklah memberikan solusi untuk masalah kemiskinan melalui pensyariatan mekanisma Zakat itu sendiri.

* Artikel ini telah terpilih untuk disiarkan dalam majalah rasmi Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI), Majalah Volition Edisi 3.

0 IDEA: