Yang dinamakan manusia itu, pasti padanya terdapat keistimewaan dan kelebihan kurniaan Tuhan Rabbul Jalil. Meskipun ianya berbeza-beza, namun ianya satu perkara yang jarang-jarang disyukuri oleh kita, si hamba Allah yang penuh hina ini.
Dalam sekalian ramai manusia, ada di antara mereka yang dikurniakan kelebihan menulis.
Meskipun seruan pertama yang diturunkan ke atas umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alayhi Wasallam itu berkaitan dengan seruan membaca, namun, tanpa peranan tulisan para penulis terdahulu, tiada apa yang dapat dibaca oleh golongan terkemudian.
ANALOGI MUDAH
Bagi saya, membaca itu serupa dengan mendengar. Manakala, menulis itu sendiri bagaikan bicara sunyi sang penulis. Begitu juga dapat diumpamakan bahawasanya membaca itu adalah menerima, dan menulis itu pula adalah memberi.
Secara logiknya, saya tidak dapat memberikan apa-apa sekiranya saya tidak memiliki apa-apa. Jadi, mana mungkin seseorang itu menulis, sedangkan dirinya langsung tidak pernah membaca dan mengkaji apa yang dibaca.
AYUH MENULIS!
Bagi insan yang mahir menggunakan kepetahannya semasa berbicara, pasti akan digunakan kelebihan itu untuk menyampaikan idea dan pemikirannya kepada manusia lain.
Walau bagaimanapun, terdapat wasilah lain untuk manusia menyampaikan idea dan juga buah fikirannya. Wasilah itu adalah menulis.
Buah fikiran hebat para Ulama’ silam pasti tidak akan sampai kepada kita seandainya mereka hanya berdakwah dengan menggunakan wasilah seperti ceramah, kuliah dan seumpama dengannya. Oleh kerana mereka arif bahawasanya dakwah itu dapat diwarisi melalui penulisan, maka lahirlah jutaan ribu karya-karya penulisan mereka.
Dalam Tazkiratul Huffaz, Imam Az-Zahabi menceritakan bahawa Imam Ibnul Jawzi telah menulis dengan tangannya sebanyak 2000 jilid.
Begitu juga yang dikisahkan oleh para Ulama’ tentang Imam Ibnu Taimiyah, yang pernah menyiapkan satu buku, hanya dengan satu kali duduk sahaja. Dan begitu juga dengan kisah dimana beliau menyiapkan Fatawa Hamawiyah-nya antara waktu Zohor dan Asar.
Terlalu banyak kisah kehebatan para Ulama’. Antara kitab yang saya cadangkan untuk anda baca dan ambil manfaat daripadanya ialah Qeemat az-Zaman ‘Ind al-Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Miftah an-Najah oleh Dr. A’idh Al-Qarni.
Bayangkanlah. Pada ketika itu, tiada Microsoft Word dalam kamar-kamar mereka. Namun, karya asli mereka terhasil dengan sebegitu banyak hanya menggunakan kudrat tangan, yang memegang pensel dengan celupan dakwat.
Justeru, sehebat mana pun cetusan idea anda, ianya tidak akan kekal dalam jangka masa yang lama, sekiranya anda tidak menulis.
ILMU SEBAGAI PEMANDU
Seringkali ada segolongan manusia yang bersikap skeptik apabila disebutkan tentang ilmu. Bagi mereka, orang yang sibuk mencari dan menyebar ilmu itu, tiada sumbangan dalam dakwah. Kalau ada pun, mungkin sedikit.
Islam itu sifatnya adalah bersederhana (wasatiyah).
Umat Islam bukan seperti orang Kristian yang beramal tanpa panduan ilmu. Umat Islam juga bukan seperti orang Yahudi yang khianat pada ilmu, lalu mengutamakan hawa nafsu, walaupun mereka tahu hakikat kebenaran ilmu.
Islam yang bersifat sederhana, tidak bermaksud kita tidak perlu terlalu banyak membaca dan memahami ilmu. Bahkan, Islam itu sendiri asasnya adalah ilmu.
Lihat sahaja para Ulama’ dahulu. Walaupun mereka sibuk mencari dan menyebarluaskan ilmu, tidak bermakna mereka tidak berdakwah. Bahkan, mungkin sekali dakwah, ilmu dan taqwa mereka lebih tinggi daripada kita.
Sebagai contoh, Imam Hassan Al-Banna sendiri meletakkan dalam sepuluh ciri yang perlu ada dalam diri seorang daie, ialah sifat 'Mustaqqaf al-Fikr' , yang bermaksud mempunyai fikiran yang berpengetahuan luas.
Justeru, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga sekalian pembaca, untuk terus berusaha menuntut ilmu.
Syarat beramal adalah berilmu. Kita diseru untuk menjadi umat yang beramal. Ya, beramal dengan ilmu.
TINTA PENULIS
Menjadi seorang penulis, tidak menyebabkan seseorang itu boleh terlepas daripada panduan ilmu. Hal ini kerana, segala tulisan anda, sekiranya ditulis tanpa mengkaji kebenarannya, akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah Ta’ala di akhirat kelak.
Sesuatu perkataan buruk yang diucapkan oleh seorang pemidato, mungkin hanya berakhir sekitar majlis pidatonya sahaja, ataupun sekitar masyarakat dalam tempoh-tempoh tertentu.
Tetapi, sebuah karya yang dikarangkan secara tidak amanah terhadap ilmu, akan diwarisi secara turun temurun dari satu generasi kepada generasi yang terkemudian.
Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi Wasallam pernah bersabda, yang bermaksud:
“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Hasan Sahih: Riwayat Imam Malik dan al-Tirmizhi).
JANGAN TAKUT BERKARYA
Menulis, bermakna menulis kerana Allah Ta’ala. Menulis, kerana ingin menegakkan kalimah Allah. Menulis juga, kerana ingin menyampaikan ilmu yang bermanfaat.
Tulisan anda, walau sepatah perkataan, seindah puisi dan sebuah cerpen serta novel, akan menjadi lebih bermakna, seandainya ditulis dengan tinta kebenaran, bukan gorengan dan khayalan tanpa kajian semata.
Oleh itu wahai sahabat, jika anda sudah yakin dengan kebenaran ilmu, maka jangan pernah takut untuk berkarya!

4 IDEA:
Sesungguhnya yang paling takutkan Allah adalah para Ulama'.
salam maulidur Rasul dari bumi Dublin, Ireland.. blog walking kejap.. rajin2, jemput laa singgah ke my blog.. :)
salam ziarah.
KOW-keep on writing..
Wa'alaykumussalam warahmatullah.
Terima kasih atas ziarah kalian.
Post a Comment