Manusia itu sifatnya
memang seorang pelupa. Makin sering dia terlupa, makin sering pulalah dia perlu
diperingatkan. Ada orang yang buat maksiat, sebab memang dia tak tahu lagi
jahil. Tapi kita, kadang-kadang terbuat juga sesuatu maksiat, bukan kerana kita
tak tahu, tapi kerana kita terlupa..
(Oke, habis intro)
Teringat dulu, ketika
masih baru masuk asrama sekolah, ada abang-abang yang tolong kejutkan bangun
solat Subuh. Barangsiapa yang didapati Subuhnya tiada di dalam Musolla, akan
dikenakan tindakan. Abang-abang ni pun bukan main kreatif lagi depa
punya denda. Ada yang suruh buat helicopter (jari telunjuk sentuh lantai, dan
kemudian pusing sampai pening, dan kejar botol), ada yang suruh tiup kipas, ada
yang soleh sikit dia suruh mandi taubat (bid’ah?) dan macam-macam jenis
denda lagi.
Tapi, Allah jadikan
manusia ni, secara fitrahnya akan bertambah matang seiring bertambahnya umur.
Banyak perkara, yang dulu masa kita buat, kita rasa itulah yang paling tepat.
Namun bila dah lama, baru kita sedar, benda yang kita buat tu sebenarnya boleh
bikin kita ketawa sorang-sorang, hari ini.
Kalau dulu di asrama,
kita bangun Subuh, sebab takut kena denda yang leceh-leceh ni. Malu dengan
kawan-kawan. Takut orang kata; result exam gempak, usrah bagai nak rak, tapi Subuh
batang hidung pun tak nampak, apa barang, Brader.
Tapi memang betullah.
Hidayah Allah ni, kalau kita nak dapat, memang kena kasi usaha lebih sikit.
Memang akan makan masa lama sikit. Bagi orang yang faham, dia akan dapat rasai
betapa besarnya nikmat solat Subuh berjemaah. Nabi janji, kita akan sentiasa
dalam jaminan Allah. Tambah lagi kalau kita dapat dirikan 2 rakaat solat sunat
sebelum Subuh, kita akan dapat lebih daripada segala isi dunia. (Jangan tak
tahu, solat sunat pun kita boleh qadha’, sebenarnya. Agak-agak kalau ada masa
lapang antara Subuh dan Zohor tu, qadha’lah solat sunat Subuh kita seberapa
banyak dan ikhlas yang mampu.)
ركعتا الفجرِ خيرٌ مِن
الدنيا وما فيها
“Dua rakaat pada solat
sunat Fajar itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.” (Hadis Muslim)
Masa duduk di Kuantan,
rumah sewa tak jauh sangat dengan masjid. Jadi, nak dapat Subuh kat masjid tu,
adalah satu dua cabaran. Tapi, bila dah sampai kat Jordan, tengok-tengok
cabaran nak dapat Subuh berjemaah kat masjid, bukan main banyak. Jaraknya pun
jauh dari rumah, cuaca dia pun bukan main sejuk (masa winter), kalau summer,
Subuh masuk awal sangat pulak. Nak tidur pun tak berapa sempat, kadang-kadang.
Tapi, pengalaman manis
bila duduk serumah dan sebumbung (kadang-kadang sebilik jugak kalau ada
session gosip-gosip ilmiah sampai tertidur) dengan sahabat-sahabat yang
soleh-moleh, memang mampu menjadikan motivasi yang terkuat untuk kita berubah
jadi lebih baik. Kadang-kadang sampai bersaing, siapa yang kejut siapa dulu.
Tapi, kalau ada hari yang bila masing-masing terbangun dah dekat-dekat nak
habis waktu Subuh, solat jemaah masih tak tinggal, walaupun bukan di masjid.
Ingat lagi, masa di
semester terakhir, sampai ada seorang teman ni kata,
“Aku takkan lamar
mana-mana gadis, selagi aku tak mampu nak istiqamah solat Subuh berjemaah di
masjid selama tiga bulan berturut-turut tanpa missed walau sekali.”
Fuh. So sweeettt.. :)
Kami yang lain-lain
memang terus termotivasi dengan cabaran si kawan ni. Mantap jugak motivasi dia.
Walaupun, sebenarnya dari sudut lain, kata-kata dia bermaksud, mungkin dia
takkan lamar seseorang kalau Subuh tak perfect, tapi tak bermakna kalau datang
lamaram seseorang ke atas dia sebelum Subuh dia perfect, dia akan tolak. Ye
dak? Hehe..
Itu semua dulu, kawan.
Zaman di universiti. Sekarang sudah masuk zaman seterusnya. Masing-masing pergi
menuju impian masing-masing. Kalau yang masih bujang, sewa bilik, duduk
sorang-sorang. Kalau takde iman, boleh je nak tinggal semua solat-solat jemaah
ni. Solat sorang-sorang dalam bilik. Subuh pun dah boleh pilih, nak Subuh Gajah
ke, Subuh Zirafah ke, Subuh apa-apa lah.. Itu baru cerita bab Subuh, belum
cerita bab movie apa yang kita layan sorang-sorang kat laptop kita.
Astaghfirullah!
Tapi kita kena ingat,
kawan. Kita tak pernah terlepas dari perhatian Allah, walau sesaat. Tak
kiralah, sama ada waktu kita berseorangan atau bersama kawan-kawan.
Apapun wahai teman,
memang kadang-kadang Allah nak uji kita. Allah nak tengok, sejauh mana kita
boleh istiqamah. Adakah dengan tertinggal sekali, dua kali, tiga kali, atau
berkali-kali jemaah Subuh di masjid, bermakna kita dah tiada peluang untuk
berubah dan bertaubat? Tidak, wahai teman. Kadang-kadang Allah timpakan ke atas
kita dengan satu musibah hanya beberapa waktu, untuk bagi peringatan kepada
kita, supaya lekas kembali memohon istighfar dan bertaubat. Tak lama kemudian,
Allah pun akan angkat kembali musibah itu dari diri kita. Semua ini hanya akan
berlaku, sekira kita beriman serta yakin dan percaya dengan janji-janji Allah!
" مصيبة تقبل بها على الله خير لك من نعمة تنسيك ذكر الله "
“Sesuatu musibah yang membawa kamu kembali
kepada Allah lebih baik bagimu daripada kenikmatan yang boleh menyebabkan kamu
lalai dari mengingati Allah” (Ibnu Taimiyah)
Akhir kata, jangan
putus asa dan teruskan berusaha menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya. Moga-moga
kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang menolak lamaran Allah untuk
ke syurga-Nya. :)
*** Kadang-kadang
memang kena letak tajuk yang ada unsur-unsur Ombak Rindu sikit, baru ada orang
nak baca.
0 IDEA:
Post a Comment